Nota dari Kelas Agama : Menanti Hari Kematian

Kematian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku ke atas setiap makhluk yang hidup. Bagi makhluk yang bernama manusia, ia di lahirkan bersama ajal yang telah ditentukan di azali. Apabila ajal sampai tiada yang dapat melambatkan atau mencepatkan kematian sesesorang itu. Tidak seorang pun manusia itu tahu akan hari kematiannya dan tidak seorang pun manusia yang dapat meramal tarikh kematian orang lain.

Manusia mati dalam 2 keadaan :-


  • tiba-tiba

  • telah dijangka

Kematian secara tiba-tiba adalah kematian yang tidak disangka dan diduga. Ia datang tanpa ada tanda-tanda kematian terlebih dahulu. Contoh kematian yang tidak disangka dan diduga ialah kematian kerana kemalangan, kematian kerana dibunuh, kematian kerana serangan sakit jantung, kematian dalam tidur dan sebagainya. Orang yang mati dalam keadaan tiba-tiba tidak dapat membuat persediaan bagi menghadapi maut seperti memberi wasiat terakhir, meminta maaf, beristighfar dan sebagainya. Maka itu kita hendaklah membuat persiapan untuk kematian kita semasa kita dalam keadaan sihat dan selamat kerana kita tidak tahu mungkin kematian kita sebenarnya sudah dekat.

Kematian jenis kedua pula adalah kematian yang telah dijangka atau sudah diketahui hayatnya sudah tidak panjang. Contohnya, orang yang menghidapi penyakit kronik seperti barah, orang yang sudah telalu tua dan uzur. Bagi mereka yang mengetahui bahawa harapan untuk hidup adalah tipis, ada beberapa perkara yang boleh mereka lakukan sebelum datangnya kematian itu.

Perkara-perkara yang patut dibuat jika tiada lagi harapan untuk hidup. 

1) Bertaubat.
Hendaklah bertaubat dari segala dosa besar dan dosa kecil yang telah dilakukan. Cara bertaubat ialah dengan merasakan kesal di hati atas dosa yang telah dilakukan itu, beristighfar memohon ampun kepada ALLAH swt dan berjanji tidak akan diulangi perbuatan dosa-dosa itu. Kemudian memperbaiki diri dengan memperbanyakkan amal-amal soleh seberapa yang mampu. Ini dipanggil taubat nasuha.

Ketahui bahawa bertaubat bukan sahaja bagi mereka yang hayatnya sudah tidak panjang tetapi juga bagi semua manusia yang mengingati mati. Mengingati mati bukanlah bererti kita menolak kehidupan dunia, tetapi dengan sentiasa mengingati mati kita akan berhati-hati dalam melayari hidup ini supaya tidak lalai dan leka dengan kehidupan dunia ini sehingga apabila mati itu datang kita dalam keadaan yang tidak bersedia menghadapinya.

2) Berbaik sangka terhadap ALLAH swt.
Dari Hadith Kursi, ALLAH swt berfirman yang bermaksud; "AKU ikut sankaan hamba-KU." Maka sangkalah yang baik terhadap ALLAH. Mereka yang mengetahui bahawa ajal mereka sudah hampir adalah lebih baik dari yang tidak tahu kerana dengan mengetahui waktu kematian telah dekat, kita dapat bertaubat dan memohom ampun atas segala kesalahan dan dosa kita. Anggaplah ini sebagai rahmat dari ALLAH.

Ketika maut menghampiri kita hendaklah banyakkan rasa harap kepada ALLAH daripada rasa takut kepada-NYA. Harap dan yakin bahawa ALLAH menerima taubat dan amalan kita. Walau bagaimanapun, dalam keadaan sihat walafi'at, perasaan takut kepada ALLAH swt hendaklah lebih banyak dari perasaan harap kerana dengan merasa takut akan murka ALLAH swt, kita akan takut untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang dan dimurkainya. Jika kita kurang rasa takut akan kemurkaan ALLAH swt, syaitan akan mengambil kesempatan untuk melalaikan kita atas segala perintah-NYA.

3) Selesaikan hutang-piutang.
Salah satu perkara yang akan dituntut akhirat ialah hutang-piutang kita sesama manusia. Selesaikan segala hutang sesama manusia ketika kita masih di alam dunia ini kerana jika tidak hutang itu akan dituntut di hadapan makhamah ALLAH kelak di akhirat dan bayarannya sangatlah berat. Jika hutang tidak dibayar sehingga sampai saat kematiannya, keluarganya hendaklah menolong melangsaikan hutang itu atau memohon supaya dihalalkan sahaja.

Begitu juga hutang terhadap ALLAH wajib juga dilunaskan sebaik-baiknya sebelum mati. Hutang kepada ALLAH adalah hutang dalam peribadatan kita terhadap-NYA. Qadakkan segala ibadat yang tertinggal secepat yang mungkin. Jika tidak mampu kerana uzur maka bolehlah bayar fidyah bagi puasa fardu yang tertinggal.

4) Jangan tinggalkan sembahyang fardu.
Ibadah sembahyang fardu adalah perkara pertama yang akan ditanya kelak di akhirat. Maka janganlah sekali-kali kita meninggalkan ibadah penting ini dalam keadaan sihat mahupun uzur. Ibadah sembahyang fardu wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan dengan cara-cara yang tertentu :-



  • duduk jika tidak boleh berdiri.

  • baring jika tidak boleh duduk.

  • dengan kerdipan mata sahaja jika tidak lagi boleh bergerak.

Selagi akal berfungsi dan waras, ibadah sembahyang fardu hendaklah dilaksanakan semampu yang boleh sehinggalah hembusan nafas terakhir.

5) Mohon kemaafan sesama manusia.
Minta maaf dan keampunan sesama manusia atas segala kesalahan kita dapat mengurangkan dosa. Kurang dosa akan memudahkan sakaratulmaut kelak. Dari Hadith Rasulullah saw, yang bermaksud; "Kurangi dosa akan mudahkan sakaratulmaut."

Kesalahan sesama manusia hanya manusia itu yang dapat memaafkan. Selagi tiada kemaafan darinya, dosa itu akan ditanggung hingga akhirat. ALLAH tidak akan memaafkan dosa kita dengan orang lain selagi orang itu tidak memaafkannya. Dan di akhirat orang itu berhak menuntut keadilan ke atas kita.

6) Beri wasiat secara langsung.
Jika yakin umur tidak lagi panjang, berilah wasiat atau pesan yang baik-baik kepada ahli keluarga terdekat. Wasiat yang terbaik ialah wasiat tentang iman dan takwa. Meninggalkan ahli waris yang beriman dan bertakwa adalah lebih baik dari meninggalkan harta yang banyak.

7) Banyakkan baca surah al-Ikhlas.
Jangan bercakap perkara yang sia-sia di sisa-sisa umur yang tinggal. Isikan masa dengan perbanyakkan bacaan surah al-Ikhlas. Sesiapa yang mati dalam keadaan banyak membaca surah al-Ikhlas dianggap sebagai mati syahid akhirat. Dari Hadith Rasulullah saw, yang bermaksud ; "Sesiapa baca surah al-Ikhlas 1000 kali, pahalanya seperti ditebus dari api neraka.

Membaca surah al-Ikhlas boleh juga dijadikan amalan harian kita kerana surah ini mengandungi banyak kelebihannya.



  • Baca surah ini 1000 kali semasa kerjakan ibadah haji sebelum berdoa. Insya-ALLAH doa itu akan termakbul.

  • Baca surah ini 3 kali akan dapat pahala sama seperti mengkhatam al-Quran.

  • Baca surah ini 1000 kali dan niatkan untuk diri sendiri. Tidak perlu baca berterusan tetapi bacalah setiap hari dengan jumlah tertentu lalu dikumpulkan sehingga genap menjadi 1000. Kemudian dikumpulkan lagi 1000 dan niatkan untuk arwah ahli keluarga yang disayangi seperti ibu dan bapa.

8) Banyakkan menyebut kalimah tauhid.
Pastikan orang yang sedang tenat itu tidak berkata-kata selain menyebut kalimah tauhid, Laa ilaha illallah, kerana sesiapa yang mati dalam tauhid dijamin tidak akan kekal dalam neraka.

9) Baring menghadap kiblat.
Baringkan orang yang sedang tenat dan nazak secara miring sebelah kanannya dan wajahnya hendaklah menghadap ke arah kiblat. Bagi orang yang tidur biasa juga sunat berbaring miring sebelah kanan dan menghadapi arah kiblat.



Sumber : kalam-insani

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Malam Pertama

Mamat bangla punya penangan.....

Hantu....!!!! Hantu !!! Hantu bogel...... (Perempuan)